Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia akan mengadaptasi model pakej perjalanan “Brunei+”, di mana pelancong menikmati penginapan semalam percuma di Brunei sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain. Foto MOTAC

Malaysia adaptasi “Brunei+” tarik sejuta pelancong timur tengah

ByRadzi Ahmad

PUTRAJAYA, 30 Mei: Malaysia komited memperkukuh hubungan pelancongan dengan negara-negara Timur Tengah menerusi pendekatan baharu yang diinspirasikan oleh kejayaan Royal Brunei Airlines dalam menarik pelancong ke rantau ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kementeriannya akan mengadaptasi model pakej perjalanan “Brunei+”, iaitu pakej yang menawarkan penginapan semalam percuma di Brunei sebelum pelancong meneruskan perjalanan ke destinasi lain seperti Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

“Selepas menerima maklum balas positif daripada pasaran terhadap pakej Royal Brunei Airlines, mereka kini telah mengembangkan pakej tersebut untuk merangkumi Kuching.

“Kami merancang untuk mengadaptasi pendekatan ini bagi pasaran Timur Tengah dan India dengan bekerjasama bersama Royal Brunei Airlines bagi menarik lebih ramai pelancong,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Langkah ini diumumkan susulan pertemuan Tiong bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy dan Pengurus Wilayah Emiriah Arab Bersatu (UAE) Royal Brunei Airlines, Jalal Sanour Rahman semasa acara Arabian Travel Market 2025.

Dalam pertemuan itu, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk memperluas pelaksanaan model “Brunei+” ke pasaran UAE, yang kini mempunyai kira-kira 4.5 juta ekspatriat India.

Menerusi pakej baharu yang sedang dirangka, pelancong akan ditawarkan lawatan selama tujuh hari enam malam, termasuk penginapan percuma satu malam di Kota Kinabalu atau Kuching.

Menurut kenyataan tersebut, Tourism Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya sejuta pelancong dari kalangan ekspatriat India di UAE untuk mengunjungi kedua-dua negara.

“Saya berhasrat memuktamadkan pakej ini menjelang hujung tahun ini demi mencapai visi kita untuk menerima 45 juta pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” jelas Tiong.

Dalam usaha memperluas lagi capaian pelancongan, Tiong turut mencadangkan agar Royal Brunei Airlines membuka laluan sambungan baharu termasuk penerbangan terus dari Dubai ke Brunei, dengan sambungan ke Melaka, Johor, Pahang dan Perak.

“Saya komited untuk membantu meluluskan sebarang laluan baharu, dengan bekerjasama rapat bersama Kementerian Pengangkutan untuk mempercepatkan proses tersebut,” tegasnya.

Menurutnya lagi, strategi ini bukan sahaja memperkukuh sektor pelancongan dua hala, malah berpotensi besar untuk memacu pertumbuhan pelancongan mesra Muslim di rantau ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan