KUCHING, 31 Mei: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) hari ini mengadakan lawatan sambil menyantuni warga Lion Nursing Home sebagai sebahagian daripada tradisi menjelang musim perayaan.
Lion Nursing Home yang berkapasiti 60 orang kini menempatkan 54 penghuni dengan 29 wanita dan 25 lelaki, kebanyakannya berumur 50 tahun ke atas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, lawatan tersebut bertujuan menceriakan warga rumah jagaan tersebut menjelang sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
“Kali terakhir saya ke sini semasa Tahun Baru Cina, seorang warga emas menangis ketika kami memberi angpau. Beliau berkata tidak mahu angpau sebaliknya hanya berharap keluarganya datang melawat. Situasi itu sangat menyentuh hati saya,” katanya.
Menurutnya, lawatan tersebut juga bertujuan memberi keyakinan kepada warga Lion Nursing Home bahawa mereka tidak keseorangan dan sentiasa mendapat sokongan.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak giat memajukan infrastruktur dan ekonomi wilayah ini untuk memastikan kesejahteraan hidup masyarakat dalam keadaan terbaik melalui sistem sokongan yang disediakan.
Semasa lawatan tersebut, kesemua warga Lion Nursing Home menerima manfaat Senior Citizen Health Benefit (SCHB) yang membolehkan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai dengan had maksimum RM500 setahun.
Selain itu, 13 warga turut menerima Kenyalang Gold Card (KGC).
KPWK juga menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada Lion Nursing Home melalui Geran Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.-TVS