SELANGAU, 31 Mei: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan menangani isu ‘menara kosong’ dan kawasan tanpa liputan telekomunikasi di Sarawak menerusi kerjasama erat bersama kerajaan negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa khas dikenali sebagai Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Keempat (MED4IRN) telah ditubuhkan khusus untuk mencari penyelesaian terhadap masalah kesalinghubungan digital di negeri itu.
“Majlis ini bersidang setiap suku tahun dan turut dianggotai Exco negeri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal digital. Antara isu utama yang sering diketengahkan termasuk kawasan yang masih belum mempunyai liputan serta menara telekomunikasi yang tidak beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Digital Rumah Panjang di Rumah Collin, Sekuau, Selangau, hari ini.
Menurut Gobind, beliau telah mengarahkan SKMM menyediakan laporan terperinci berkaitan isu berkenaan, yang dijangka dibentangkan dalam tempoh enam bulan.
Mesyuarat terkini MED4IRN telah berlangsung pada 28 April lalu di Pulau Pinang dan turut dihadiri Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong serta wakil dari SKMM.
“Kita komited memastikan semua pihak yang berkepentingan berganding bahu bagi menyelesaikan isu ini secepat mungkin demi kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa permohonan bagi pelaksanaan rangkaian 5G di kawasan Selangau kini dalam peringkat kajian.
“Saya telah meminta Digital Nasional Berhad (DNB) menyemak permohonan ini dan menyerahkan laporan selewat-lewatnya minggu depan. Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman, yang turut hadir hari ini, menyatakan komitmen tinggi terhadap perkara ini,” ujarnya.
Gobind turut menegaskan bahawa suara dan permintaan daripada ketua-ketua komuniti termasuk Tuai Rumah harus diberikan perhatian serius dan disusuli dengan tindakan segera.
“Kesalinghubungan digital hari ini bukan lagi sekadar soal komunikasi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada akses pendidikan, kemudahan kesihatan dan pembangunan ekonomi luar bandar,” tambah beliau.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Collin bagi tujuan baik pulih dan naik taraf rumah panjang, termasuk pembaikan bumbung yang bocor.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, ADUN Tamin Christopher Gira Sambang, Penghulu Anderson Ngalai Asom serta beberapa pemimpin setempat lain.
Sementara itu, Program Jelajah Digital Rumah Panjang anjuran Kementerian Digital hari ini membawa satu dimensi baharu dalam usaha mendekatkan teknologi kepada komuniti luar bandar, khususnya penduduk di Rumah Collin, Sekuau, Selangau dimana lokasi program itu dilaksanakan.

Menurut Tuai Rumah Collin Justine Nyuak, inisiatif ini memberikan manfaat besar kepada masyarakat setempat dan sekitar Sekuau.
“Bukan saja di rumah saya, tapi untuk kegunaan masyarakat di kawasan Sekuau.
“Seperti diumum oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo akan membawa kita ke era baru, era digital,” katanya ketika ditemui pada program tersebut hari ini. -TVS