JENIN (Tebing Barat, Palestin), 31 Mei: Sebuah kenderaan tentera Israel merempuh sebuah bas yang membawa jemaah haji awal pagi Sabtu di Bandar Jenin, utara Tebing Barat, menyebabkan panik dalam kalangan penumpang, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) berdasarkan sumber tempatan.
Kejadian berlaku berhampiran Dataran Pentadbiran Jenin ketika bas berkenaan sedang bersiap untuk bertolak ke Bandar Jericho.
Jemaah haji terbabit dijadualkan menyeberangi sempadan Jambatan Karama dari sana ke Jordan sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji.
Menurut saksi dan pegawai tempatan, pelanggaran itu dipercayai disengajakan. Timbalan Gabenor Jenin, Mansour Al-Saadi mengesahkan bahawa kenderaan tentera Israel merempuh secara langsung bas yang diletakkan di luar kawasan Kompleks Pentadbiran Jenin.
Bas itu membawa jemaah warga emas, kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga syuhada dan rakyat Palestin yang cedera.
Beberapa penumpang turut dilaporkan menghidap penyakit kronik. Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, bas mengalami kerosakan dan insiden itu menyebabkan tekanan emosi yang besar dalam kalangan jemaah. -TVS