TOKYO, 31 Mei: Kerajaan Jepun berhasrat meneroka pasaran luar baharu dan menyediakan sokongan ke arah pengeluaran yang lebih cekap sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan eksport beras, susulan jangkaan penurunan penggunaan domestik dalam tempoh jangka masa panjang.
Dalam kertas putih tahunan mengenai makanan dan pertanian bagi tahun fiskal 2024 yang diluluskan Kabinet, Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan mencadangkan peningkatan eksport beras, walaupun kerajaan baru-baru ini memperkenalkan langkah untuk mengawal kenaikan harga domestik yang sebahagiannya didorong oleh kekurangan bekalan.
Laporan itu mengenal pasti China, Singapura, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Taiwan sebagai pasaran sasaran eksport, menurut laporan Kyodo News.
Dengan populariti makanan Jepun yang semakin meningkat di luar negara, eksport barangan pertanian negara itu mencatat rekod sebanyak 1.51 trilion yen (US$10.5 bilion) pada 2024, dengan sasaran mencecah 5 trilion yen menjelang 2030, menurut laporan berkenaan pada Jumaat.
Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan berhasrat meningkatkan eksport beras yang mencatat peningkatan kepada 12.03 bilion yen pada 2024 — meningkat 27.8 peratus berbanding tahun sebelumnya — melalui jualan di restoran dan kedai Jepun.
Kerajaan menetapkan matlamat untuk melonjakkan eksport beras hampir lapan kali ganda kepada 353,000 tan pada 2030 berbanding 2024, seperti dinyatakan dalam rancangan asas pertanian jangka sederhana dan panjang yang dikeluarkan pada April.
Bagi memperkukuh produktiviti eksport beras, kerajaan bercadang meningkatkan keluasan ladang diurus oleh petani berorientasikan eksport yang memiliki kawasan minimum 15 hektar atau lebih.
Ia turut menyasarkan pengurangan kos pengeluaran semasa sebanyak 16,000 yen bagi setiap 60 kilogram kepada sekitar 9,500 yen bagi tujuan eksport, membolehkan pengeluar domestik bersaing dengan beras yang ditanam di luar negara, menurut rancangan itu.
Kertas putih itu, yang buat julung kalinya merangkumi bab khusus mengenai eksport pertanian, menyatakan: “Adalah penting untuk beralih kepada menjana pendapatan melalui pasaran luar negara yang sedang berkembang” memandangkan penggunaan domestik dijangka menurun akibat penyusutan populasi.- TVS