NEW DELHI, 31 Mei: India menurunkan cukai import asas ke atas minyak makan sebanyak 10 mata peratusan sekali gus sebagai langkah yang dijangka meningkatkan permintaan domestik terhadap minyak masak di peringkat runcit.
Langkah ini mengurangkan duti asas ke atas minyak sawit mentah (MSM), minyak soya mentah dan minyak bunga matahari mentah kepada 10 peratus daripada 20 peratus sebelum ini.
Kadar duti import yang berkesan, merangkumi infrastruktur pertanian dan ces pembangunan serta surcaj kebajikan sosial ke atas minyak makan mentah pada masa ini berjumlah 16.5 peratus daripada 27.5 peratus sebelum ini.
Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengurangkan duti import minyak makan mentah di samping mengekalkan kadar duti sedia ada bagi minyak ditapis.
“Langkah itu bukan sahaja akan mengukuhkan kapasiti penapisan domestik syarikat penapis India, malah turut memastikan harga yang adil kepada pekebun biji minyak dan pengguna,” kata Presiden IVPA Sudhakar Desai dalam kenyataan.
India adalah pengimport terbesar dan pengguna kedua terbesar minyak makan di dunia.
Syarikat penapis Nepal telah meningkatkan jualan yang ketara ke India di bawah peraturan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Selatan (SAFTA) sejak kerajaan India menaikkan duti kastam asas ke atas minyak makan mentah daripada sifar kepada 20 peratus, dan daripada 12.5 peratus kepada 32.5 peratus bagi produk ditapis pada September tahun lepas.
Pengusaha penghancur biji minyak di India sebelum ini berkata perbezaan cukai yang kecil antara minyak mentah dan minyak bertapis telah menjejaskan kepentingan mereka.- TVS