KUCHING, 31 Mei: Sambutan Hari Gawai Dayak bukan sekadar perayaan kebudayaan sebaliknya menjadi platform penyatuan dan pengukuhan semangat iltizam dalam kalangan masyarakat Dayak ke arah pembangunan wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, masyarakat Dayak diseru terus bersatu padu dan memainkan peranan aktif dalam menjayakan transformasi ekonomi selari dengan agenda pembangunan yang digerakkan Kerajaan Sarawak.
“Gawai Dayak adalah temasya besar kaum Dayak yang mencerminkan identiti mereka di Sarawak, seperti yang diimpikan oleh pemimpin terdahulu.
“Saya percaya tokoh-tokoh seperti mendiang Dato Sri Tra Zehnder yang memperjuangkan pengiktirafan Gawai Dayak oleh kerajaan pada awal 1960-an turut mengimpikan agar sambutan ini menjadi wadah penyatuan kaum Dayak serta memperkasakan status budaya dan ekonomi mereka,” katanya dalam perutusan sempena Hari Gawai Dayak 2025.
Dalam perutusan sama, beliau dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai kepada seluruh masyarakat Dayak.
“Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua kepada seluruh masyarakat Dayak yang meraikan Gawai di mana jua berada,” ujarnya. – TVS