KUCHING, 31 Mei: Hari Gawai Dayak 2025 bukan sekadar perayaan kebudayaan, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh nilai perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk Sarawak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Abdullah berkata persiapan menyambut Gawai kini melibatkan hampir semua kaum di negeri ini, bukan sahaja masyarakat Dayak.
“Kita dapat lihat keghairahan dan keseronokan untuk menyambut perayaan Hari Gawai ini melibatkan hampir semua kaum di Bumi Kenyalang yang bertuah ini,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2025, hari ini.
Abdullah menegaskan setiap perayaan di Sarawak, sama ada berkaitan budaya, adat, atau agama, perlu dihargai sebagai medan untuk mengukuhkan perpaduan dan toleransi.
“Semua ini menjadikan masyarakat majmuk kita semakin cantik bagaikan corak batik berbagai warna tapi masih kekal satu warisan indah yang harus kita pertahan seperti pua kumbu yang ditenun dengan cantik dan kukuh yang bertahan sepanjang zaman,” ujarnya.
Pada masa sama, Abdullah turut menyeru semua rakyat Sarawak untuk menjaga kesihatan dan keselamatan, serta terus menjaga semangat gotong-royong dalam kehidupan bermasyarakat.
Justeru, beliau juga berharap sambutan Hari Gawai tahun ini akan menjadi kenangan manis yang membawa kegembiraan serta kesatuan antara masyarakat di setiap rumah panjang. – TVS