KUCHING, 30 Mei: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah melahirkan keyakinan terhadap Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
Beliau berkata, keyakinan itu berlandaskan kepada semangat Fazzrudin dalam arena bola sepak dengan memimpin Kuching City FC ke tahap lebih baik.
“Jika beliau memegang jawatan (Presiden FAS), kita akan memberikan sokongan penuh atau sesiapa sahaja yang mahu menjadi presiden
“Dato Fazzruddin mempunyai semangat mendalam kepada sukan bola sepak, jika tidak Kuching City FC tidak akan menjadi pasukan seperti apa yang kita lihat hari ini,” katanya.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian selepas ditemui pemberita pada akhir Pelancaran Karnival Belia Satok XTIVE 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Satok @ Padang SLPAS pada Jumaat.
Bagaimanapun menurutnya, keputusan untuk bertanding bagi jawatan presiden itu bergantung kepada Fazzruddin sendiri.
Fazzrudin disebut-sebut bakal mengisi jawatan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan FAS yang dijadualkan pada 14 Jun ini bagi menggantikan bekas presidennya, Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman yang tidak mempertahankan jawatan bagi penggal 2025 hingga 2027.
Beliau dianggap calon terbaik berdasarkan pengalamannya mengemudi Kuching City FC selaku presiden selain aktif dalam perkembangan sukan belia dan menjadi penaung kepada Axis Football Club Kuching.-TVS