LUNDU, 30 Mei: Pendekatan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menerusi platform khidmat komunitinya, Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) mendapat respons positif daripada warga Lundu terutama di Rumah Panjang Kampung Kangka, di sini.
Menurut Tuai Rumah, Henry Isa Jemat yang juga seorang nelayan, 46, inisiatif PSSS ini dilihat sebagai satu pendekatan yang baik kerana ia membantu dalam menyantuni selain membina kesejahteraan komuniti, terutamanya golongan rentan.
“Program PSSS ini bagi saya merupakan pendekatan yang baik kerana ia mejadi medium untuk warga menyuarakan keluh-kesah penduduk di kawasan pedalaman Lundu, terutama di rumah-rumah panjang.
“Saya amat berterima kasih kerana menyantuni kami di Kampung Kangka ini, terutama dari segi kebajikan warga emas dan kanak-kanak di kampung ini,” ujarnya ketika ditemui TVS pada Program Khidmat Komuniti Yayasan Kebajikan Negara dan Jelajah Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) ‘Kamek Nengar, Kamek Nulong’ di Lundu pada Jumaat.
Sementara bagi Penghulu Gadong Poi, 57, yang merupakan seorang pesara kerajaan, menyifatkan program ini sebagai komitmen serta keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan serta keperluan setiap golongan masyarakat di negara ini, khasnya di Sarawak.
“Satu inisiatif atau ikhtiar kerajaan yang amat bermakna bagi penduduk di Kampung Kangka ini kerana pendekatan bersemuka sebegini akan dapat memastikan setiap maklumat yang ingin disampaikan adalah tepat dan teratur,” jelasnya.
Eliyanna Jemat, 41, seorang penjawat awam berharap agar inisiatif seperti ini akan di teruskan di masa mendatang untuk menyantuni serta membantu lebih ramai warga untuk mengubah kehidupan yang dianggap sukar pada masa sedia ada, menjadi lebih selesa menerusi pendekatan program yang disediakan oleh YKN menerusi PSSS ini.
“Pada pendapat saya, program sebegini perlu diteruskan kerana ia dapat memperkasakan golongan belia menerusi aktiviti bimbingan dan kaunseling, selain bantuan kebajikan untuk meningkatkatkan taraf hidup golongan belia,” ujarnya.-TVS