KUCHING, 30 Mei: Sarawak terus melakar sejarah apabila bakal menganjurkan Sarawak International Choral Festival and Symposium (SICFest & SICSym) 2025 buat kali kedua yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival tersebut disokong penuh kemeteriannya dan dijangka menarik lebih 600 peserta dari dalam dan luar negara sekali gus menjadikan Sarawak pusat tumpuan dunia bagi muzik koir.
“Sarawak melalui kementerian saya komited untuk merealisasikan visi kita dalam memperkasa pelancongan, seni dan budaya di wilayah ini sekali gus menjadikannya destinasi unggul di peringkat serantau serta antarabangsa.
“Usaha ini juga bertujuan mengetengahkan kekayaan warisan budaya dan bakat kreatif Sarawak kepada khalayak global,” katanya pada sidang media SICFest & SICSym 2025 yang berlangsung di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut berharap penganjuran edisi kali ini dapat mencetuskan gelombang baharu dalam dunia seni persembahan di Sarawak.
“Kami sedang mencuba dahulu kerana kita mempunyai Pusat Seni Persembahan yang dijangka siap pada hujung tahun hadapan. Buat masa ini, program dilaksanakan di Hikmah Exchange.
“Apabila kemudahan itu siap kelak, kita ingin mencubanya di sana (Pusat Seni Persembahan). Sebab itulah kita mahu lihat sambutan orang ramai. Kita perlu mula memupuk minat terhadap koir dan semua jenis muzik seperti ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Kuching Choral Society (KSC) dan Pengarah Festival, Benedict JC Lo berkata, SICFest & SICSym 2025 bukan sahaja menjadi medan pertandingan tetapi ruang pertukaran budaya dan inspirasi untuk bakat muda.
“Kami sangat teruja untuk melihat peserta ini membuat persembahan dan berinteraksi dengan penonton. Melihat bakat mereka dan memberi ruang untuk mengekspresikan diri secara positif serta membina adalah sesuatu yang wajar diraikan dalam komuniti seperti Sarawak,” jelasnya.
Antara negara yang turut serta termasuk Austria, Jerman, Serbia, Indonesia, Filipina dan Singapura selain penyertaan dari negeri-negeri di Malaysia seperti Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.
Terdapat 20 kumpulan koir bertanding dalam lapan kategori termasuk Koir Kanak-Kanak, Koir Remaja, Suara Seimbang dan Suara Campuran dengan pemenang utama bakal membawa pulang Premier Cup dan hadiah wang tunai USD2,500.
Antara tarikan utama ialah persembahan oleh Kinderchor der Staatsoper Unter den Linden Berlin iaitu Koir Kanak-Kanak Rumah Opera Negeri Berlin, Jerman yang akan menghiburkan penonton di majlis penutup dan acara Grand Prix.
Selain itu, Koir Kanak-Kanak Sarawak yang dibentuk khas untuk festival tersebut yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah di Kuching bakal membuat persembahan pembukaan serta sesi kolaborasi khas dengan koir dari Jerman tersebut.
Festival berkenaan turut menganjurkan bengkel vokal bersama konduktor berpengalaman dari dalam dan luar negara di Muzium Budaya Borneo (BCM) serta persembahan pratonton terbuka di pusat beli-belah seperti The Spring, VivaCity dan Plaza Merdeka sebagai usaha memperkenalkan seni koir kepada masyarakat umum. – TVS