KOTA KINABALU, 30 Mei: Sabah berhak menikmati hasil minyak dan gas seperti Sarawak namun ia mesti dicapai menerusi rundingan tertib bukannya tekanan politik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan tidak menolak permintaan negeri selagi ia dilakukan secara tersusun dan menghormati kerangka Perlembagaan.
Menurutnya, beliau memberi jaminan rundingan antara Kerajaan Sabah dan kementerian berkaitan akan diteruskan supaya manfaat hasil negeri dapat dirasai seluruh rakyat bukan sekadar kelompok tertentu.
“Saya tak ada masalah beri laluan hasil seperti mana berlaku di Sarawak untuk negeri Sabah termasuk minyak dan gas. Menang kerana rundingan bukan jeritan maki hamun,” katanya ketika berucap pada sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di sini hari ini.
Anwar turut menyatakan pembangunan Sabah kekal menjadi tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) hasil sesi libat urus langsung bersama pemimpin negeri.
Sejak dua tahun lalu katanya, hampir setiap kali ke Sabah beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin negeri bagi memahami keperluan rakyat secara langsung.
Menurutnya, pendekatan itu juga menjadi asas perancangan RMK13 yang lebih berpaksikan keperluan negeri termasuk Sabah.
“Saya beritahu tahun lalu, ini bukan soal pilihan raya. Ini soal tanggungjawab negara, jaga keharmonian dan selesaikan isu dengan rundingan baik,” ujarnya.
Anwar turut menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memberi perhatian kepada isu asas di Sabah seperti bekalan elektrik, air bersih, pendidikan dan infrastruktur luar bandar. -TVS