KOTA KINABALU, 30 Mei: Sabah mencatat satu lagi pencapaian penting dalam pelaburan hijau dengan pelancaran Fasa Pertama Projek Esteel bernilai RM6.4 bilion yang disifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan dasar ekonomi negara.
Bercakap pada majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat, Anwar berkata, komitmen syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd untuk melabur sehingga RM31 bilion dalam tiga fasa mencerminkan kepercayaan terhadap kerjasama mantap antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Pelaburan sebesar ini hanya boleh berlaku dalam sebuah negara yang stabil dan mempunyai dasar ekonomi yang jelas serta pelaksanaan berkesan. Pelabur yakin kerana kita tunjukkan kesungguhan dalam memudahkan pelaburan,” katanya.
Anwar berkata, projek keluli hijau tersebut bukan sekadar membangunkan industri berat di Sabah tetapi juga mesti membawa manfaat langsung kepada rakyat negeri ini.
“Cabaran paling penting sekarang ialah bagaimana kita melaksanakan projek ini dengan telus dan cekap. Ini akan meyakinkan pelabur bahawa tiada birokrasi yang menghalang kejayaan projek,” ujarnya.
Beliau turut menyeru supaya anak muda Sabah diberi keutamaan dalam latihan dan peluang pekerjaan serta menggesa kerjasama terus antara industri dan institusi pendidikan agar tidak berlaku ketidakpadanan kemahiran.
“Kalau syarikat seperti Esteel boleh melatih belia Sabah mengikut keperluan industri, itu lebih baik daripada menunggu kelulusan formal. Yang penting, mereka bersedia untuk bekerja,” jelasnya.
Perdana Menteri turut mendedahkan walaupun terdapat moratorium terhadap lesen baharu industri keluli di Semenanjung Malaysia, Sabah diberikan pengecualian kerana projek tersebut bersifat hijau dan memenuhi keperluan strategik serantau.
“Bukan soal pilih kasih. Kita luluskan kerana ia berasas ekonomi, berorientasikan masa depan dan mampan,” katanya.
Projek Esteel dibangunkan di Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan dijangka mewujudkan ribuan pekerjaan serta merangsang pertumbuhan sektor industri berat di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat secara langsung daripada projek ini termasuk dalam bentuk pekerjaan dan peluang perniagaan.
“Ini bukan hanya tentang Sipitang. Kesan limpahannya akan dirasai di seluruh negeri,” ujarnya. -TVS