KUALA LUMPUR, 30 Mei: Pemain warisan Harimau Malaya terbaharu Gabriel Palmero, mengambil inisiatif menghafal lagu Negaraku melalui YouTube, ketika persiapan menentang Cape Verde pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di sini malam tadi.
Pemain pertahanan berusia 23 tahun yang bermain dengan cemerlang menerusi penampilan pertama bersama skuad kebangsaan berkata beliau berlatih bersungguh-sungguh menyanyikan Negaraku sebaik mungkin.
“Saya cuba. Saya menonton YouTube dan banyak berlatih menyanyikan lagu kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu yang menyaksikan Malaysia mengikat pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Pada perlawanan itu, Paulo Josue meledak gol penyamaan pada minit ke-79 dan menafikan kemenangan Cape Verde selepas pemain pertahanan Sidny Lopes Cabral meletakkan pasukan pelawat di depan seawal minit ke-8.
Palmero yang bermain kira-kira 80 minit sebelum digantikan, memberikan impak pada bahagian kanan dan hampir menjaringkan gol apabila percubaannya dari luar kotak penalti terkena tiang pada minit ke-7.
Pemain CD Tenerife B dari Sepanyol itu berkata beliau tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan baharu yang membantunya beraksi dengan lebih baik pada perlawanan itu.
“Bahasa Inggeris saya tidak sempurna, tetapi saya cuba bercakap dan berkomunikasi. Bola sepak ialah bahasa universal, jadi mudah untuk saya berhubung dengan rakan sepasukan di atas padang,” katanya.
Malaysia akan bertemu Cape Verde sekali lagi pada perlawanan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini (3 Jun).
Dua perlawanan menentang Cape Verde menjadi medan persiapan skuad negara menjelang aksi kedua Kumpulan F dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional pada 10 Jun.
Malaysia dan Vietnam kini berkongsi tiga mata di dua tangga teratas kumpulan selepas satu perlawanan. -TVS