KUALA LUMPUR, 30 Mei: Pemain boling kelahiran Sarawak, Nur Hazirah Ramli mengakui dia berada pada fasa penting dalam kariernyq apabila sedang merebut tempat untuk beraksi pada Sukan SEA 2025 Thailand hujung tahun ini.
Kata Ratu Boling SUKMA Sarawak 2024 itu, walaupun cemerlang pada kejohanan berprestij, USBC Queens di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, namun itu tidak menjamin kedudukan dalam enam slot yang ditawarkan.
“Tumpuan saya kini terlebih dahulu untuk dipilih ke Kejohanan Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong pada November ini.
“Bagi melayakkan diri kejohanan itu, saya perlu meraih kedudukan terbaik dalam Kejohanan Terbuka Singapura dan Terbuka Thailand tidak lama lagi.
“Saya masih cuba sedaya-upaya sebab sekarang peluang masih terbuka buat semua pemain,” katanya ketika ditemui TVS di Sunway Megalanes di sini, hari ini.
Bagaimana pun, pemain berusia 22 tahun itu berkata, dirinya tidak akan mengalah sekiranya tidak disenaraikan ke Sukan SEA kali ini.
“Ini kerana Sukan SEA diadakan setiap dua tahun, jadi saya akan berusaha lebih lagi nanti,” katanya.
Tambahnya, sejak menyertai skuad remaja kebangsaan pada 2023, prestasi permainannya semakin baik dan lebih konsisten. – TVS