MIRI, 30 Mei: Pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah digesa memohon lesen motosikal kelas B2 menerusi Program MyLesen yang bakal dilaksanakan semula pada Julai.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program tersebut memberi subsidi kepada pelajar dengan mengurangkan kos mendapatkan lesen motosikal dari RM760 kepada hanya RM250.
“Program ini telah mendapat sambutan yang baik di sekolah-sekolah menengah di Miri tahun lepas. Tahun ini kita sambung lagi pelaksanaannya. Subsidi sebanyak RM500 ini ditanggung kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena perayaan Gawai di perkarangan Permy Mall, Miri, hari ini.
Menurutnya, langkah itu penting berikutan aduan dan pemerhatian mendapati ramai pelajar masih menunggang motosikal tanpa lesen selain tidak memakai topi keledar.
“Saya telah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Miri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pengetua sekolah untuk memastikan program ini dapat dijalankan secara berperingkat.
“Kita mahu semua pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah mempunyai lesen dan menunggang secara selamat,” ujarnya.
Pelajar berumur 16 tahun ke atas layak menyertai program tersebut melalui sekolah masing-masing dan bagi bekas pelajar yang masih belum memiliki lesen, mereka juga boleh memohon melalui sekolah asal. – TVS