KUCHING, 30 Mei: Kucing peliharaan dan kucing terbiar akan dimasukkan dalam program vaksinasi rabies sebagai usaha memerangi wabak berkenaan di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata langkah itu diambil setelah seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun disahkan dijangkiti rabies dan kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak.
“Kes ini membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun yang kini dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak.
Mangsa dipercayai dijangkiti selepas dicakar oleh kucing terbiar semasa memberinya makan pada Februari lalu,” kata Uggah ketika mempengerusikan mesyuarat JPBN Sarawak, pada Khamis.
Menurut Uggah, walaupun anjing menyumbang kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan kes rabies, kucing juga mencatatkan lima peratus kes.
Beliau turut memaklumkan bahawa daerah Kuching dan Samarahan kekal mencatatkan bilangan kes rabies tertinggi, manakala Sibu menunjukkan trend penurunan yang memberangsangkan.
Sehubungan itu, pihak jabatan sedang mempertimbangkan kaedah pemvaksinan secara oral dan juga pelaksanaan program pensterilan bagi mengawal penularan penyakit berkenaan.
Uggah turut mengingatkan orang ramai supaya segera mencuci luka dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 20 minit sekiranya digigit atau dicakar haiwan, sebelum mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
“Sarawak kini mempunyai 255 klinik kerajaan untuk rawatan pasca gigitan serta 18 fasiliti swasta.
“Bekalan vaksin juga mencukupi, jadi jangan tunggu,” katanya. – TVS