MIRI, 30 Mei: Projek menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Miri yang melibatkan lima komponen utama kini sedang giat dilaksanakan dan menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau berkata pelaksanaan projek tersebut amat penting memandangkan bangunan terminal lapangan terbang itu telah beroperasi lebih 20 tahun dan mengalami kerosakan akibat faktor haus dan lusuh.
“Sejak tahun 2013 lagi, pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Miri telah melebihi dua juta setahun. Maka, kemudahan sedia ada perlu dinaik taraf bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya dalam lawatan kerja bersama pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di sini, hari ini.
Antara kerja naik taraf yang sedang berjalan termasuk penggantian sistem penghawa dingin dan saluran ventilasi, pembaikan tandas awam, penggantian eskalator, pemulihan lantai konkrit di Apron Bay 1 serta pemasangan dua unit jambatan udara baharu (passenger boarding bridge) lengkap dengan sistem panduan visual (visual docking guidance system).
“Untuk projek penggantian tandas, kerja-kerja di aras bawah telah bermula dan selepas itu akan disambung ke aras satu. Kesemua tandas termasuk untuk lelaki, wanita dan Orang Kurang Upaya akan dinaik taraf.
“Eskalator sekarang telah berusia dan kerap rosak. Penggantian ini sangat diperlukan. Sekarang 29 peratus siap, iaitu 15 peratus lebih awal daripada jadual,” ujarnya.
Sementara itu, kerja penggantian sistem penghawa dingin yang turut melibatkan saluran ducting lama yang berkarat dan bocor dijangka siap pertengahan Julai ini. Manakala kerja pemulihan lantai konkrit di Apron Bay 1 akan siap sepenuhnya menjelang 19 Februari 2026.
“Apabila selesai, kita boleh guna ruang itu untuk parkir pesawat yang lebih besar. Kita juga akan tambah satu lagi aero bridge apabila terminal lapangan terbang ini diperluaskan kelak,” tambahnya.
Mengulas mengenai projek pembinaan passenger boarding bridge, beliau berkata satu unit telah siap dipasang manakala satu lagi di Bay 3 akan dipasang selepas perayaan Gawai dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan.
“Saya telah tinjau jambatan udara di Bay 4, ia lengkap dengan sistem pendingin hawa baharu dan sistem panduan digital untuk parkir pesawat tanpa perlu petugas mengarahkan secara manual,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pihak lapangan terbang agar melaksanakan kerja mengecat semula seluruh bangunan yang kini kelihatan pudar.
“Saya dah minta MAHB untuk cat semula keseluruhan bangunan tahun ini, termasuk bahagian luar yang kelihatan usang ketika pelawat tiba. Ini akan beri imej baharu kepada lapangan terbang kita,” katanya.
Dato Sri Lee menegaskan bahawa kesemua projek ini juga sebahagian daripada persediaan awal untuk pelaksanaan pelan menaik taraf terminal Lapangan Terbang Miri secara keseluruhan, di mana kajian reka bentuk awal oleh JKR dan perunding telahpun bermula dan dijangka siap pada November tahun ini.
“Ini langkah pertama ke arah pembesaran terminal. Dengan reka bentuk baharu kelak, kita akan mampu menampung pertumbuhan penumpang yang lebih besar dan meningkatkan tahap perkhidmatan lapangan terbang secara keseluruhan,” ujarnya. – TVS