KUCHING, 30 Mei: Sarawak International Choral Festival and Symposium (SICFest & SICSym) 2025 bukan sahaja menjadi platform utama memperkasa seni suara malah turut berperanan mempromosi Sarawak sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peserta antarabangsa bukan sahaja datang untuk membuat dan menyaksikan persembahan tetapi turut dibawa melawat lokasi pelancongan utama seperti Kampung Budaya Sarawak, Taman Negara Bako dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh.
Menurutnya, usaha tersebut secara tidak langsung akan membantu memperkenalkan keunikan Sarawak ke peringkat global secara lebih meluas.
“Selain daripada menyertai festival koir, saya mahu mereka diberi peluang untuk melawat beberapa lokasi pelancongan kerana itu sangat membantu dalam mempromosikan Sarawak.
“Saya tidak mahu melihat mana-mana penganjur acara hanya fokus kepada kejayaan penganjuran sahaja tetapi tidak memikirkan perkara lebih luas daripada itu,” katanya pada sidang media SICFest & SICSym 2025 di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan serta Pengerusi Kuching Choral Society (KSC) dan Pengarah Festival, Benedict JC Lo.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjur juga tidak seharusnya terlalu fokus kepada keuntungan daripada penjualan tiket bagi setiap program atau festival yang dianjurkan.
“Jangan terlalu fokus kepada jualan tiket. Saya tidak tahu tujuan jualan tiket itu. Adakah untuk mengaut keuntungan? Jika untuk dana, anda boleh minta dari kementerian atau kerajaan negeri.
“Bagi saya, pada tahun pertama dan kedua, ia adalah untuk tujuan promosi dan memastikan kita menjadi penganjur yang baik,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abdul Karim turut mengajak masyarakat khususnya pelajar sekolah sekitar Kuching untuk diberikan peluang menyaksikan festival berkenaan secara percuma bagi memupuk minat generasi muda terhadap seni koir dan memperluaskan impak festival dalam jangka masa panjang. – TVS