Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain Malaysia Arif Aiman Mohd Hanapi cuba mengawal bola daripada pemain Cape Verde pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bernama

Harimau Malaya ikat pasukan ke-72 dunia Cape Verde

ByBernama

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Malaysia berada dalam kelas tersendiri apabila mengikat pasukan di ranking ke-72 dunia, Cape Verde 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Penyerang gantian Paulo Josue meledak gol penyamaan kira-kira 10 minit sebelum tamat permainan untuk menyelamatkan maruah skuad Harimau Malaya di hadapan penyokong sendiri, selepas pemain pertahanan Sidny Lopes Cabral meletakkan Cape Verde di depan seawal separuh masa pertama.

Pada pertembungan sulung antara kedua-dua pasukan di pentas kompetitif itu, jurulatih Peter Cklamovski mempertaruhkan tujuh pemain tempatan dalam kesebelasan utama, manakala pemain naturalisasi terbaharu, Gabriel Palmero, diberi peluang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.

Skuad negara memberi amaran awal apabila percubaan Palmero dari luar kotak penalti terkena tiang pada minit ketujuh, namun Cape Verde terlebih dahulu membuka tirai jaringan seminit kemudian menerusi Cabral yang bijak melepasi kawalan Daniel Ting sebelum merembat deras dari jarak dekat.

Cape Verde terus menguasai permainan, melancarkan beberapa serangan berbahaya yang memaksa benteng pertahanan negara diketuai kapten Matthew Davies dan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bekerja keras mengekang asakan.

Bersambung babak kedua, Malaysia hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Faisal Abdul Halim pada minit ke-61, namun ditepis keluar oleh penjaga gol Vozinha Dias, sebelum Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili gagal menyambar bola di garisan gol.

Arif Aiman Mohd Hanapi turut berpeluang mencetak nama selaku penjaring, namun percubaannya dalam situasi satu lawan satu sekadar terkena kaki Dias pada minit ke-69.

Malaysia akhirnya menarik nafas lega apabila Josue menyamakan kedudukan pada minit ke-79, tenang menyempurnakan hantaran Quentin Cheng.

Josue sekali lagi hampir muncul wira negara pada minit ke-86, namun rembatannya dari jarak dekat ditepis Dias, menyaksikan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat permainan.

Malaysia dijadual bertemu Cape Verde sekali lagi pada perlawanan latihan tertutup di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 3 Jun ini.

Dua perlawanan menentang Cape Verde menjadi medan persiapan skuad negara menjelang aksi kedua Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional, 10 Jun ini.

Malaysia dan Vietnam kini berkongsi tiga mata di dua tangga teratas kumpulan selepas satu perlawanan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan