MALUDAM, 30 Mei: Sebanyak enam Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga di Daerah Kecil Maludam bernilai RM760,000 siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, semua projek tersebut adalah di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong.
“Pelaksanaan projek ini bertujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur asas bagi penduduk luar bandar khususnya dalam aspek sistem saliran dan akses jalan lebih selamat dan efisien.
“Saya hanya menjalankan amanah yang diberikan untuk rakyat. Keutamaan kita adalah memastikan kesejahteraan dan keperluan asas penduduk luar bandar terus diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas Sesi Lawatan dan Pengesahan Projek Siap RTP di Maludam pada Jumaat.
Menurutnya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Sarawak yang menyediakan peruntukan untuk pelaksanaan projek tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan peruntukan untuk projek ini.
“Jutaan terima kasih juga kepada JPS Bahagian Betong atas komitmen tinggi, kerjasama terbaik dan memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini,” ujarnya.
Enam projek tersebut ialah bina baharu pembentung dan naik taraf jalan di Sungai Mulon, baik pulih jalan dan kerja berkaitan menuju Sungai Maludam di Kampung Sungai Mulon dan baik pulih jalan ke kebun di Rumah Panjang Sungai Daun.
Turut dilaksanakan bina baharu sistem saliran di Kampung Seberang (Kawasan Komuniti Cina), bina baharu sistem saliran dan kerja berkaitan di Kampung Hulu serta naik taraf jeti nelayan Kampung Tengah.-TVS