SRI AMAN, 30 Mei: Seramai enam mangsa dilaporkan cedera ringan selepas kereta dinaiki kemalangan kendiri berhampiran Kampung Gua, Jalan Serian-Sri Aman di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Mohamad Fadhli Buyong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 7.16 pagi dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia.
“Kesemua mangsa lelaki dan wanita berusia 15 hingga 60 tahun mengalami kecederaan ringan dan tidak tersepit. Mangsa berjaya keluar sendiri daripada kenderaan tanpa bantuan peralatan RTA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tiada operasi penyelamatan dijalankan oleh pihak bomba.
“Tiga orang mangsa telah dihantar ke Hospital Sri Aman menggunakan Unit EMRS, manakala seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dihantar menggunakan ambulans KKM.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.50 pagi,” ujarnya. – TVS