Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Commemorating Century of Kapit Peacemaking 1924- 2024, hari ini.

Dataran Bujang Berani di Kapit iktiraf jasa pahlawan Dayak

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 30 Mei: Sebuah dataran pahlawan yang dinamakan Dataran Bujang Berani akan dibangunkan di Kapit sebagai penghormatan kepada pengorbanan dan sumbangan kaum Dayak dalam mempertahankan keselamatan negara sejak era pra kemerdekaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dataran tersebut nanti akan dibangunkan berdekatan dengan Kubu Sylvia dan dijangka dilaksanakan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

“Kaum Dayak sama ada Iban, Kayan, Kenyah dan lain-lain telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara sejak dahulu lagi. Malah sebelum penubuhan Malaysia, mereka berjuang menjaga keselamatan di Tanah Melayu semasa zaman Malaya Emergency sebagai anggota Sarawak Rangers dan seterusnya sebagai Malaysia Rangers.

“Hingga ke hari ini, ramai anak-anak dari Bahagian Kapit termasuk dari Daerah Belaga dan Murum bukan sahaja kaum Iban tetapi juga Kayan, Kenyah dan suku-suku lain terus berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Commemorating Century of Kapit Peacemaking 1924- 2024 di Yayasan Kebudayaan Dayak, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Nanta berkata, pembinaan dataran tersebut merupakan inisiatif yang terhasil secara langsung daripada sambutan 100 tahun Pendamaian Kapit yang berlangsung pada Disember lalu dan turut mendapat sokongan penuh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau turut memaklumkan beberapa konsultan mula mereka bentuk monumen ikonik yang akan dibina di dataran tersebut sebagai tarikan utama.

Dalam perkembangan berkaitan, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit turut mengumumkan pembinaan Pusat Warisan Dayak di Kapit yang diluluskan secara prinsip oleh Kerajaan Sarawak.

“Kita juga sedang bekerjasama rapat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon untuk pembangunan ini termasuk identiti warisan yang boleh menjadi simbol asal usul kita sebagai masyarakat Sarawak,” ujarnya.

Menurut Nanta, kesemua inisiatif tersebut sedang dirangka secara kolektif di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dengan matlamat menjadikan Kapit bukan sahaja sebagai tapak sejarah penting tetapi juga pusat rujukan warisan dan perjuangan kaum Dayak di Malaysia. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan