KUCHING, 30 Mei: Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini melancarkan sebuah buku berjudul ‘Commemorating a Century of Kapit Peacemaking 1924–2024’, yang merupakan dokumentasi rasmi tunggal berkaitan sambutan 100 tahun Pendamaian Kapit.
Menurut beliau, naskah tersebut menghimpunkan pelbagai maklumat penting termasuk kompilasi ucapan, kertas kerja dan gambar-gambar eksklusif yang dirakam sepanjang tempoh sambutan bersejarah itu dari tahun 2019 hingga 2024.
“Saya rasa bertuah kerana diberi peluang untuk melancarkan buku ini. Ia satu-satunya naskhah yang mengumpulkan segala maklumat, kertas kerja dan ucapan semasa sambutan perayaan 100 tahun Pendamaian Kapit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar usai Majlis Pelancaran Buku Commemorating Century of Kapit Peacemaking 1924- 2024 di Yayasan Kebudayaan Dayak, di sini, hari ini.

Menurut Nanta, peristiwa pendamaian yang berlaku 100 tahun lalu merupakan titik tolak penting dalam sejarah Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman yang suatu ketika dahulu sering dilanda konflik antara pelbagai kaum.
“Penting untuk kita raikan 100 tahun ini kerana dulu, berlaku peperangan antara pelbagai kaum di kawasan pedalaman Sarawak, termasuk yang berada di sempadan Indonesia. Sebab itu, semasa sambutan ulang tahun ini pada bulan Disember, kita turut menjemput Konsul Jeneral Indonesia untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah ini,” jelasnya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Nanta menekankan kepentingan mendokumentasikan sejarah ini untuk tatapan dan pembelajaran generasi muda agar sejarah ini terus hidup bukan hanya dalam buku tetapi juga dalam pemikiran generasi akan datang.
Tambah beliau, teknologi moden hari ini membuka ruang untuk sejarah didokumentasikan secara lebih efektif melalui digitalisasi bagi membolehkan bahan sejarah diakses dengan mudah oleh masyarakat dan disimpan untuk jangka masa panjang.
“Jika peristiwa-peristiwa penting ini tidak didokumentasikan atau direkodkan, sejarah kita berisiko untuk hilang dan dilupakan.
Kita boleh mendigitalkan detik-detik penting ini agar ia dapat dipelihara dan diakses oleh generasi masa depan. Dengan cara ini, generasi yang akan datang akan dapat melihat dan belajar daripada peristiwa-peristiwa bersejarah ini,” katanya.

Sementara itu, editor buku Commemorating Century of Kapit Peacemaking 1924- 2024, Dr Regina Garai memaklumkan penghasilan naskhah ini adalah satu usaha penting dalam memastikan sejarah agung Perjanjian Perdamaian Kapit ini tidak luput ditelan masa.
“Dan sudah pastinya, tiada antara kita yang akan berada di sini untuk menyaksikan ulang tahun ke-200 pada masa akan datang.
“Dengan merakamkan sejarah ini dalam bentuk sebuah buku, kita memastikan bahawa generasi akan datang dapat mempelajari, menghargai dan memahami usaha kita dalam memperingati peristiwa yang amat penting ini,” katanya.
Menurut Dr Regina, buku setebal lebih 300 muka surat ini dibahagikan kepada lapan bab utama merangkumi latar belakang sejarah, sambutan Ulang Tahun Ke-100 Majlis Perdamaian Kapit, seminar antarabangsa, kertas kerja, biodata moderator, lawatan bersejarah, pelbagai aktiviti komuniti, serta liputan media sepanjang sambutan berlangsung.
Usaha editorial ini katanya, merupakan hasil kerjasama antara Yayasan Tun Jugah dan Yayasan Budaya Dayak, di bawah nasihat serta bimbingan Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah selaku penasihat utama. – TVS