KUALA LUMPUR, 30 Mei: Pemain boling wanita negara, Nur Hazirah Ramli menyifatkan kejayaannya meraih tempat ketiga kejohanan profesional berprestij, USBC Queens di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini sebagai mimpi menjadi kenyataan.
Atlet berusia 22 tahun itu berkata, pencapaian itu merupakan antara detik terindah dalam kerjayanya kerana tidak menyangka mampu menempatkan diri pada kedudukan podium dalam pertandingan yang disertai oleh kelompok pemain terbaik dunia itu.
Nur Hazirah yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata, dia tidak meletakkan sasaran tinggi ketika terbang ke AS baru – baru ini kerana ia kali pertama menyertai kejohanan profesional itu yang menawarkan hadiah lumayan lebih RM255,000 untuk juara.
@tvsarawak Nur Hazirah cemerlang di AS, bawa pulang hadiah lumayan 📹Amiruddin Shah (TVS) 📱 Strim live di tvsarawak.my atau di aplikasi MYTV Mana-Mana, Unifi TV dan Astro GO sekarang! #TVS122 #TVSNews #TVSarawak #TrendingNewsMalaysia #BeritadiTikTok
“Saya memang gemuruh sejak awal, tapi memang jadi impian sejak berusia 12 tahun untuk sertai kejohanan itu.
“Saya tulis di dalam diari untuk capai perkara itu, dan pada usia 22 tahun akhirnya impian jadi kenyataan.
“Cuma sedikit terkilan tidak meraih kedudukan pertama, tetapi masih ada masa lagi buat saya untuk dapatkan ‘tiara’ kejuaraan itu pada masa depan,” katanya ketika ditemui TVS di Sunway Megalanes di sini, hari ini.
Pada kejohanan itu, Nur Hazirah menampilkan aksi cemerlang apabila menewaskan beberapa nama besar termasuk bekas juara dunia dari Colombia, Clara Juliana Guerrero, Daria Pajak dari Poland dan pemain tuan rumah,Missy Parkin.
Dia yang mara ke step ladder selaku pilihan kedua bagaimana terpaksa akur kepada rakan sepasukan, Sin Lin Jane apabila tewas 211-235 sekali gus membawa pulang hadiah RM95,816.
Dalam pada itu,Nur Hazirah berkata, dia berpuas hati kerana mampu memberikan saingan sengit kepada pemain-pemain senior termasuk Lin Jane di peringkat separuh akhir.
“Detik yang saya impikan iaitu bersaing dengan pemain-pemain senior juga sudah tercapai.
“Saya menghormati mereka, semasa kejohanan saya memberikan yang terbaik dan sekiranya berjaya raih kedudukan podium, itu adalah bonus kerana bukan mudah untuk mengalahkan pemain senior,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan dengan wang kemenangan itu, Nur Hazirah berkata, sebahagian besar akan disimpan unttuk melanjutkan pengajian di universiti pada tahun depan.
“Sebahagian kecil wang itu akan digunakan untuk membeli peralatan boling.
“Saya juga akan kongsi dengan keluarga yang menjadi tulang belakang dalam karier saya sebagai pemain boling selama ini” katanya.
Nama Nur Hazirah mula dikenali oleh peminat sukan boling tanah air apabila mencipta sensasi meraih empat pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dalam kategori perseorangan dan beregu.
Ketika ini Nur Hazirah sedang beraksi pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 dan dia berada pada kedudukan baik untuk mara ke peringkat seterusnya. -TVS.