JAKARTA, 30 Mei: Sekurang-kurangnya enam pekerja maut dan 12 lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perlombongan mineral di Gunung Kuda, Cirebon, Jawa Barat, dengan puluhan lagi dikhuatiri hilang, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.
Ketua Polis Cirebon, Pesuruhjaya Sumarni berkata tragedi itu berlaku sekitar 9.30 pagi waktu tempatan, kira-kira satu kilometer dari kawasan penempatan berhampiran.
“Sebahagian cerun bukit runtuh, menghempap para pekerja dengan timbunan tanah dan runtuhan,” katanya kepada penyiar tempatan Metro TV.
Pasukan kecemasan sedang bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat, namun usaha menyelamat terhalang akibat keadaan tanah yang tidak stabil dan timbunan runtuhan yang berat.
“Kami menggerakkan jentera berat dan menambah anggota bagi mempercepat proses pemindahan mangsa,” kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Cirebon, Deni Nurcahaya sambil menambah bahawa punca kejadian masih dalam siasatan.
Pihak berkuasa belum mengesahkan jumlah sebenar mangsa yang hilang. Anggaran awal menunjukkan beberapa dozen pekerja berada di lokasi kejadian bersama jentolak dan lori ketika tanah runtuh berlaku.
Rakaman oleh Metro TV menunjukkan kawasan cerun dengan rekahan besar, manakala jentolak kelihatan menggali timbunan runtuhan ketika pasukan penyelamat menyelaras operasi di kaki bukit.
Tanah runtuh merupakan kejadian biasa di Indonesia, terutama di kawasan perlombongan yang tidak dikawal selia dengan baik sehingga menjejaskan kestabilan tanah.
Kejadian serupa pernah berlaku di tapak sama pada Februari tahun ini, namun tiada kematian dilaporkan secara rasmi. -TVS