BINTANGOR, 29 Mei: Wartawan beretika kini berdepan cabaran besar dalam mempertahankan integriti dan ketepatan maklumat di tengah ledakan media sosial serta pengaruh naratif yang mengelirukan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata kemunculan platform media sosial dan pempengaruh telah mengubah landskap penyampaian maklumat, sekali gus mencabar kredibiliti media arus perdana yang selama ini berpegang pada prinsip kewartawanan profesional.
“Integriti dan maruah majoriti wartawan beretika yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk menyampaikan maklumat sahih semakin tercabar bila media alternatif sering diguna untuk tujuan tidak baik atau dengan penciptaan naratif berita yang mengeliru atau kurang tepat,” katanya ketika diminta mengulas tentang Hari Wartawan Nasional di sini, hari ini.
Menurut beliau, peranan wartawan sebagai sumber maklumat yang sahih dan berautoriti adalah sama hebat dengan pasukan keselamatan dan warga pendidik dalam membina masyarakat yang berpengetahuan, positif dan kompetitif.
Katanya, pengorbanan petugas media, sama ada di lapangan mahupun di pejabat, harus dihargai kerana mereka menjadi tulang belakang kepada saluran informasi yang berwibawa.
“Tugas wartawan bertauliah, berpengalaman dan bijak semakin diperlukan untuk membina masyarakat yang matang dengan hidangan berita yang tepat dan konstruktif,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam menghadapi cabaran digitalisasi, wartawan perlu terus memelihara etika, profesionalisme dan komitmen untuk menyampaikan kebenaran demi kesejahteraan masyarakat.
Dalam pada itu, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menyerahkan sumbangan kepada 50 rumah panjang dalam kawasannya sempena sambutan Hari Gawai Dayak.
Sumbangan berbentuk bungkusan daging ayam itu diagihkan kepada setiap keluarga, membabitkan sejumlah 900 bungkusan dengan nilai keseluruhan RM21,600.

Acara penyerahan sumbangan dilakukan secara ringkas dan bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan serta mengiktiraf kepelbagaian budaya menjelang perayaan Hari Gawai Dayak tidak lama lagi.
“Program keramaian Gawai telah juga dirancang oleh Pusat Khidmat ADUN Semop dan akan diadakan di beberapa lokasi rumah panjang pertengahan Jun nanti,” katanya.
Sementara itu, dalam satu acara berasingan, Abdullah turut menyampaikan cek bernilai RM10,000 sebagai peruntukan dana kepada Persatuan Melanau Sibu bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebudayaan dan komuniti persatuan berkenaan.