BINTULU, 29 Mei: Seorang lelaki warganegara Indonesia maut manakala seorang lagi cedera parah selepas pikap yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kendiri berhampiran Jambatan Nyalau, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, hari ini.
Komander Operasi, Paul Senum berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 1.59 tengah hari dengan menggerakkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi terdapat dua mangsa, seorang mangsa teperangkap di dalam kenderan sebelah pemandu tidak sedarkan diri dan seorang lagi mangsa tercampak keluar mengelami cedera parah di kepala.
“Komander operasi membuat size-up di lokasi dan mengarahkan anggota membuat penyelamatan mengeluarkan mangsa yang terperangkap dan membuat rawatan awal kepada mangsa yang tercampak keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak ambulans membawa mangsa yang cedera ke Hospital Bintulu.
“Mangsa yang teperangkap disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kemudian diserahkan kepada pihak Polis Batu Niah untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.-TVS