LIMBANG, 29 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka menyerikan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2025 yang akan berlangsung di Limbang mulai 11 hingga 15 Jun ini.
Menurut Menteri bertanggungjawab bagi sambutan tersebut, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, lebih 10,000 pengunjung dari Sarawak, Sabah, Brunei dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka memeriahkan acara yang penuh bermakna ini.
Roland memberitahu pelbagai program menarik telah dirancang termasuk Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain pada 11 Jun, Pameran Raja Kita dari 12 hingga 15 Jun di Dewan Suarah Limbang, Khutbah Khas di seluruh masjid di Sarawak pada 13 Jun, Majlis Kesyukuran di Masjid Jannatul Firdaus Limbang pada 13 Jun dan Majlis Jamuan Teh di Dewan Suarah pada 14 Jun.
“Kita ada tiga venue utama untuk mengadakan beberapa program sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2025, iaitu di Dewan Suarah untuk Pameran Diraja Kita (12 hingga 15 Jun).
“Kita juga akan mengadakan Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain pada 11 Jun, di Dewan Suarah dan Majlis Kesyukuran di Masjid Jannatul Firdaus (13 Jun),” katanya pada Sidang Media Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2025 disebuah hotel terkemuka di Limbang hari ini.
Roland yang juga Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat berkata turut diadakan aktiviti sampingan seperti Limbang Kitchen, Limbang Idol dan aktiviti lain.
Beliau berkata sambutan diadakan dilokasi berbeza setiap tahun bagi menyebarluaskan kepada setiap lapisan masyarakat di Sarawak termasuk bahagian Limbang tentang kepentingan dan pemahaman tentang institusi Raja.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Residen Bahagian Limbang Unos Tambi dan kenamaan lain. -TVS.