SINGAPURA, 29 Mei: Sarawak Media Group menempa kejayaan membanggakan selepas merangkul dua anugerah berprestij di Asia Pacific Broadcasting Award 2025 yang berlangsung di Singapura malam tadi.
Menerusi salurannya, TVS, Sarawak Media Group diiktiraf dalam dua kategori utama Kategori Penstriman Kerajaan – Malaysia bagi siaran langsung Regata Sarawak 2024 dan Kategori Penstriman Acara Langsung – Malaysia untuk liputan SUKMA 2024 dan Para SUKMA 2024.
Kejayaan tersebut menyaksikan TVS mendominasi kedua-dua kategori tersebut.
Ketika ditemui, Pengerusi Sarawak Media Group, Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan dedikasi, kerja keras dan semangat inovasi seluruh pasukan terlibat.
“Anugerah ini telah meletakkan standard baharu dalam dunia penyampaian kandungan siaran sukan berkualiti tinggi yang dapat dinikmati penonton kami di mana juga mereka berada,” katanya.
Menurutnya, seluruh warga Sarawak Media Group dan TVS amat berbesar hati dan teruja menerima anugerah yang penuh prestij itu.
“Lebih bermakna, ini merupakan penyertaan pertama kami dan pengiktirafan terhadap kualiti liputan kami bagi Regata Sarawak serta SUKMA 2024 dan Para SUKMA 2024 menerusi penggunaan teknologi terkini yang benar-benar menjadi satu penghormatan buat kami,” ujarnya.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Penerbit dan Ketua Pengarang Asia Pacific Broadcasting Tim Charlton kepada Ketua Kandungan Kreatif TVS Jamal Abdullah selaku wakil Sarawak Media Group.
Majlis penyampaian anugerah turut tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Syarikat Sarawak Media Group selaku wakil Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Rosleenda Sayumi Ismail dan beberapa warga kerja TVS.-TVS