KUCHING, 29 Mei: Tugu kucing putih di Jalan Padungan mengenakan busana tradisional Orang Ulu dengan berlatar belakangkan warna bendera Sarawak iaitu kuning, merah dan hitam sempena Hari Gawai Dayak pada 1 Jun ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata pakaian tradisional kaum Dayak itu menonjolkan kekayaan budaya dan keunikan masyarakat di negeri ini.
Beliau turut memuji kaum Dayak di negeri ini yang dianggap sebagai kaum yang mempunyai kekayaan dari sudut budaya dan warisan.
Jelas beliau lagi 20 tahun lalu, Sarawak telah menggunakan motif kaum Dayak yang dicetak di dalam pelbagai rekaan pakaian dan aksesori perhiasan.
Beliau turut memuji kaum Dayak di negeri ini yang dianggap sebagai kaum yang mempunyai kekayaan dari sudut budaya dan warisan.
“Mereka (Kaum Dayak) mempunyai hasil tenunan (dari) pua kumbu, ada yang berasal daripada manik dan pelbagai lagi. Jadi, dengan budaya dan tradisi Sarawak yang kaya, kita terus meraikannya dan menonjolkan bahawa negeri ini penuh dengan keunikan, bukan sahaja dari segi rakyat dan kumpulan etnik, tetapi juga kerana kita mempunyai warisan budaya yang sangat kaya,” katanya lagi
Hong Seng berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian hadir menyalakan lampu di Tugu Kucing Putih, Jalan Padungan pada Khamis.-TVS