WASHINGTON, 29 Mei: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky jika dianggap perlu, lapor agensi berita TASS.
“Saya akan (bertemu), jika perlu,” kata Trump kepada pemberita apabila ditanya mengenai kemungkinan penyertaannya dalam pertemuan yang melibatkan kedua-dua pemimpin itu.
“Buat masa ini, kami sedang bekerjasama dengan Presiden Putin dan kita akan lihat ke mana arahnya. Saya percaya kami berada di landasan yang baik, tetapi kita akan lihat,” tambah beliau.
Kenyataan Trump itu dibuat ketika Rusia mengesahkan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan Ukraine di Istanbul pada 2 Jun, yang bertujuan membentangkan memorandum bagi menyelesaikan punca utama krisis yang sedang berlaku.
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov berkata delegasi yang diketuai Pembantu Presiden Vladimir Medinsky akan memberikan penjelasan yang diperlukan kepada pihak Ukraine semasa pusingan kedua rundingan secara langsung.
Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov turut menyatakan bahawa pertemuan secara peribadi antara Putin dan Zelensky hanya wajar diadakan selepas rundingan antara kedua-dua delegasi mencapai kemajuan yang ketara. -TVS