Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Beregu lelaki nombor satu dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengesahkan tempat ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2025 selepas memenangi pertembungan sesama pemain Malaysia pada pusingan kedua hari ini. Foto Badminton Association of Malaysia - BAM (FB)

Terbuka Singapura 2025: Sze Fei-Nur Izzuddin, Soon Huat-Shevon mara ke suku akhir

ByBernama

SINGAPURA, 29 Mei: Beregu lelaki nombor satu dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengesahkan tempat ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2025 selepas memenangi pertembungan sesama pemain Malaysia pada pusingan kedua hari ini.

Beregu profesional negara itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang berada di ranking ke-23 dunia dengan kemenangan 21-13, 21-11 dalam masa 33 minit di Stadium Tertutup Singapura.

Nur Izzuddin berkata fokus utama mereka hanya untuk memberikan persembahan terbaik pada perlawanan hari ini.

“Kami hanya fokus pada persediaan kami, menikmati permainan dan buat yang terbaik,” katanya kepada Bernama, sambil berharap dapat mengekalkan momentum itu ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, Wan Arif dan Roy King berkata mereka akan memberi fokus untuk memperbaiki persembahan menjelang Terbuka Indonesia 2025 yang bakal berlangsung minggu depan.

Wan Arif-Roy King dijadual memulakan kempen pada Terbuka Indonesia 2025 menentang pasangan Perancis Eloi Adam-Leo Rossi.

“Walaupun hari ini permainan kami dah okay, tapi masih tidak konsisten dan buat banyak kesalahan. Selepas ini, kami akan menikmati permainan pada Terbuka Indonesia dan harap dapat keputusan lebih baik,” kata Wan Arif.

Dalam acara beregu campuran, pasangan pilihan utama negara Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan gandingan baharu China Feng Yan Zhe-Wei Ya Xin 21-11, 21-19 dalam masa 34 minit.

Shevon memberikan pujian kepada pasangan beregu yang juga suaminya Soon Huat atas semangat juang tinggi dan kesungguhan beliau pulih daripada kecederaan.

“Sebelum perlawanan, masih ada sedikit ketidakpastian. Persembahan kami pada Masters Malaysia minggu lepas juga tidak begitu konsisten. Saya benar-benar puji pasangan saya kerana beliau berusaha keras untuk bermain sebaik ini hari ini,” katanya.

Minggu lepas, Soon Huat-Shevon gagal mempertahankan kejuaraan Masters Malaysia apabila tewas di pusingan pertama kepada pasangan Denmark Mads Vestergaard-Christine Busch dengan keputusan 18-21, 19-21.

Soon Huat pula berkata kejayaan mereka banyak bergantung kepada motivasi dan kepercayaan antara satu sama lain.

“Apa yang penting adalah saling memberi sokongan dan galakan, mempercayai antara satu sama lain serta tidak mudah berputus asa,” katanya.

Pasangan itu akan berdepan pilihan keenam dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang menewaskan gandingan China Cheng Xing-Zhang Chi 21-19, 21-18.

Empat lagi pasangan negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Pearly Tan-M.Thinaah (beregu wanita) serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) juga akan beraksi hari ini, bersama wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki Leong Jun Hao. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan