SARIKEI, 29 Mei: Peminat seni muzik jalanan (busking) dijemput untuk menyertai Pertandingan Busker yang bakal diadakan buat pertama kalinya di Taman Rimba Sebangkoi, Sarikei pada 26 Julai ini, sempena penganjuran Sarikei Festival 2025.
Menurut Urusetia pertandingan, Zulfadhli Leonardo, pertandingan ini terbuka kepada anak muda berusia antara 13 hingga 30 tahun yang meminati seni persembahan muzik secara berkumpulan menggunakan peralatan yang minimal.
Bagi peserta yang berumur di bawah 18 tahun, mereka diwajibkan mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga sebelum menyertai pertandingan tersebut.
Zulfadhli berkata, program itu memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk menonjolkan bakat seni muzik mereka, di samping mengetengahkan elemen budaya setempat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.
“Setiap kumpulan mestilah terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga orang ahli yang merangkumi penyanyi dan pemuzik,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Tambahnya lagi, lagu dan muzik yang dipersembahkan perlulah tidak menyentuh sensitiviti agama dan kaum, manakala etika berpakaian semasa persembahan hendaklah sopan serta tidak menjolok mata.
Pertandingan ini juga dilihat sebagai platform positif kepada golongan muda untuk bergiat aktif dalam seni muzik sambil memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Tarikh tutup penyertaan ialah pada jam 12.00 tengah hari, 18 Julai. Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus kepada Zulfadhli di talian 016-5751173. -TVS