KUCHING, 29 Mei: Sarawak kekal komited memperjuangkan autonomi dalam bidang kesihatan bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh, berkualiti dan mampan untuk rakyat negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, autonomi kesihatan amat penting agar Sarawak dapat merancang, membina dan mengurus kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang lebih bersesuaian dengan keperluan setempat.
Menurut beliau, Sarawak tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada sistem persekutuan sedia ada memandangkan kaedah pengagihan peruntukan berdasarkan peratusan penduduk sering kali meletakkan negeri ini dalam keadaan kurang menguntungkan.
Katanya, walaupun Sarawak hanya menerima kira-kira lapan peratus peruntukan kesihatan daripada kerajaan persekutuan, Sarawak tetap meneruskan pelaburan dan usaha sendiri.
Dr. Sim turut menjelaskan bahawa daripada lebih RM400 bilion peruntukan keseluruhan kerajaan Malaysia, hanya sekitar RM40 bilion atau 10 peratus diperuntukkan untuk pembangunan dan penambahbaikan sistem kesihatan iaitu jumlah yang dikongsi oleh seluruh negara.
“Pembiayaan yang dibuat berdasarkan nisbah populasi menyebabkan kita sering kali ketinggalan. Mereka lupa bahawa apabila kita menyumbang kepada negara, tiada penetapan sumbangan mengikut populasi. Namun, apabila wang diagihkan kembali, Sarawak hanya diberikan berdasarkan 8% populasi,” ujarnya.
Dr. Sim menegaskan bahawa Sarawak berhak menuntut kuasa autonomi kesihatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang membuka ruang kepada negeri ini untuk mengurus hal ehwal kesihatan secara sendiri melalui penggubalan undang-undang di Dewan Undangan Negeri.
Antara keutamaan utama Sarawak ketika ini katanya adalah pembinaan Hospital Kanser Sarawak yang dicadangkan dengan kos sekitar RM1 bilion.
Namun menurut beliau, kapasiti hospital tersebut perlu dikaji semula dan disarankan agar ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 300 katil memandangkan ia bakal menjadi satu-satunya hospital khusus untuk kanser di negeri ini.
Beliau memberi jaminan, jika kerajaan persekutuan tidak mampu menyiapkan projek dalam tempoh lima tahun, Sarawak bersedia mengambil alih tanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Mengimbas kembali perkembangan negeri ini, Dr. Sim berkata, sepuluh tahun lalu rakyat Malaysia memandang rendah kemampuan Sarawak namun menjelang tahun 2025, negeri ini telah bangkit sebagai contoh kemajuan yang dihormati.
“Saya selalu beritahu, rakyat Malaysia memandang tinggi Sarawak bukan semata-mata kerana Premier kita menjalankan tugas dengan baik, tetapi setiap daripada kita juga mesti menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Tambahnya, Sarawak akan terus melangkah ke hadapan bukan sahaja menuntut hak tetapi membuktikan keupayaan membina sistem kesihatan yang lebih mampan dan berdaya saing.