KUCHING, 29 Mei: Sarawak Squash Centre, Petra Jaya bakal menjadi arena para atlet skuasy bagi dua kejohanan peringkat Asia, iaitu Kejohanan Perseorangan Skuasy Asia ke-23 2025 dan Kejohanan Beregu Skuasy Kedua Asia 2025.
Sebanyak 18 buah negara bakal bertanding dalam dua kejohanan tersebut yang melibatkan penyertaan 50 atlet lelaki dan 40 atlet wanita.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, kejohanan yang julung kalinya diadakan di Sarawak ini membuka peluang dalam menguji persiapan Sarawak dalam penganjuran sukan-sukan berprestij tinggi lainnya.
“Kami mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk mengadakan acara ini di Kuching dan ini menunjukkan persiapan kita kerana ini juga menjurus kepada persiapan kita untuk menganjurkan Sukan Sea nanti.
“Dari segi ini, kita ada pakar teknikal yang kita bawa dan kita juga melatih orang tempatan untuk menganjurkan apa-apa kejohanan dan ini sangat penting kalau kita tak cukup teknikal, terutamanya di Sarawak, memang tak dapat kita lakukan Sekali lagi, terima kasih kepada Pertubuhan Squash Malaysia (SRAM) kerana memberi peluang dan kita berharap untuk melihat kejohanan yang bagus untuk dua minggu akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Kejohanan Kejohanan Perseorangan Skuasy Asia 2025 dan Kejohanan Beregu Skuasy Asia 2025 di Kuching pada Khamis.
Tambahnya, selain menjadi satu pertandingan yang menjanjikan pelbagai aksi menarik ianya akan turut memberi impak kepada sektor pelancongan sukan bagi Sarawak melibatkan kemasukan pelancong luar bukan sahaja peserta tetapi juga penyokong serta ahli keluarga mereka ke sini.
Ujarnya lagi, atlet muda Sarawak sendiri iaitu Harith Danial yang menunjukkan prestasi terbaik sejak akhir-akhir ini akan turut beraksi mewakili malaysia dalam dua kejohanan ini kelak.
“Kita akan menampilkan Saudara Harith Danial dari Sarawak yang telah memenangkan medal SUKMA 2024 dan beberapa hari yang lalu memenangkan lagi Kejohanan Squash Auckland Open dan Ini menunjukkan satu pencapaian yang baik daripada atlet Sarawak.
“Bukan sahaja daripada Sarawak, dia mengharumkan nama Malaysia juga Jadi, kita sangat bangga dengan pencapaian beliau yang berasal dari Miri jadi, dia melakukan dengan baik dan pada saat ini beliau belajar di United Kingdom dia juga menang beberapa turnamen di sana dan kita harapkan prestasi beliau terus dapat meningkat,” jelasnya.
Kejohanan Perseorangan Skuasy Asia ke-23 2025 bakal berlangsung pada 17 hingga 21 Jun 2025 dengan penyertaan 16 negara antaranya termasuklah Bahrain, China, India, Iran, Jepun dan Korea Selatan.
Sementara itu, Kejohanan Beregu Skuasy Asia kedua 2025 bakal bermula pada 23 hingga 26 Jun 2025 melibatkan lapan negara antaranya Iraq, India, Jepun, Korea Selatan, Pakistan, Chinese Taipei, Hong Kong dan Malaysia. – TVS