KUCHING, 29 Mei : Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Gawai Dayak 2025 menyaksikan penambahan tiga barangan kawalan baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 11 jenis barangan berbanding lapan pada tahun lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin, berkata barangan baharu itu ialah kelapa biji, kelapa parut dan santan, susulan permintaan tinggi ketika musim perayaan.
“Untuk tahun 2024, kita hanya mengawal lapan barangan, namun bagi tahun ini, kita meningkatkan kepada 11 jenis barangan kawalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik selesai Walkabout Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Gawai Dayak 2025 di pusat membeli belah Farley di sini, hari ini.
Dedahnya, senarai penuh 11 barangan kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Gawai Dayak 2025 ialah seperti berikut.
“Pertama, babi hidup yang dikawal pada peringkat ladang, kedua, daging babi dan lemak, ketiga, daging perut babi, keempat, ayam tua hidup; dan kelima, ayam tua siap dipotong.
“Seterusnya, barangan keenam ialah kubis bulat yang diimport dari Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing, ketujuh, bawang putih dari China, kelapan, cili kering, kesembilan, kelapa biji, kesepuluh, kelapa parut, dan yang kesebelas ialah santan,” katanya lagi.
Skim ini berkuat kuasa selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum 1 Jun, satu hari pada hari Gawai, dan tiga hari selepas perayaan, di seluruh negeri Sarawak.
“Kita laksanakan skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723), melibatkan kawalan harga di peringkat borong dan runcit,” jelas Matthew.
Tambahnya lagi, sebanyak 207 pegawai penguat kuasa dan 91 pegawai penguat kuasa harga digerakkan di seluruh Sarawak untuk memantau pematuhan skim ini, termasuk di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah.
“Kita tidak menunggu aduan semata-mata. Pemeriksaan akan terus dijalankan agar pengguna dapat membeli-belah dengan selamat, dan peniaga pula beroperasi secara beretika,” tambahnya lagi.
Matthew turut memuji sikap positif para peniaga semasa pemeriksaan dilakukan, antaranya terdapat peniaga yang menjual bawang mentah dan susu sejat pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan.
“Tahniah kepada peniaga yang menawarkan harga yang lebih rendah.
“Ini satu contoh amalan perdagangan beretika yang kita harapkan sentiasa diamalkan,” ujarnya lagi. – TVS