KUNDASANG, 29 Mei: Sabah Electricity menyasarkan untuk mengurangkan purata tempoh gangguan bekalan elektrik di seluruh negeri kepada bawah 100 minit setahun menjelang tahun 2030.
Usaha tersebut dilaksanakan menerusi perluasan sistem Distribution Automation (DA) yang mula dipasang sejak 2018 dan kini sedang giat diperluas ke kawasan pedalaman seperti Kundasang dan Ranau.
Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity, Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, indeks gangguan purata (SAIDI) di Sabah menurun secara ketara daripada kira-kira 500 minit setahun pada 2014 kepada 207 minit pada tahun 2024.
“Kita yakin dengan pelaburan berterusan dalam automasi, penaiktarafan sistem grid dan penggantian kabel, sasaran bawah 100 minit menjelang 2030 dapat dicapai,” katanya ketika melawat salah satu panel DA di Kundasang, semalam.
Sistem DA membolehkan pusat kawalan Sabah Electricity di Kota Kinabalu mengesan gangguan, mengasingkan kerosakan dan memulihkan bekalan dengan segera kepada kawasan tidak terjejas tanpa perlu menghantar pasukan teknikal ke lokasi.
Sebelum ini, pasukan teknikal perlu pergi ke lokasi dan kerja pemulihan sering tertangguh akibat keadaan cuaca dan trafik.
Di Ranau yang merupakan daerah pedalaman tanah tinggi kira-kira 110 kilometer (km) dari Kota Kinabalu, DA mula beroperasi sejak tahun lalu dan berjaya menurunkan SAIDI daripada 230 minit dalam tempoh Januari hingga April 2024 kepada hanya 165 minit tahun ini.
Kundasang pula yang pernah mencatat gangguan sehingga 800 minit setahun bagi setiap pengguna turut menunjukkan peningkatan ketara.
Setakat ini, sebanyak 681 lokasi di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dipasang dengan sistem DA dan Sabah Electricity merancang untuk meningkatkan jumlah itu kepada 1,250 lokasi menjelang 2030.
Yusmanizam berkata, inisiatif lain termasuk penggantian kabel tidak bertebat kepada kabel bersalut serta transformasi digital bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Kita berharap usaha ini akan menyamai tahap kebolehpercayaan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia yang kini berada sekitar 50 minit,” ujarnya. – TVS