KUCHING, 29 Mei: Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Air yang terbahagi kepada Wilayah Selatan, Wilayah Tengah dan Wilayah Utara kini sedang giat dijalankan dalam usaha Kerajaan Sarawak membekalkan bekalan air terawat kepada seluruh penduduk wilayah ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, melalui pelan induk dan sistem grid air itu, bekalan air terawat dapat disalurkan kepada penduduk di semua kawasan di Sarawak meliputi kawasan bandar, luar bandar, pesisir dan pedalaman.
Bagaimanapun menurutnya, terdapat beberapa kawasan pendalaman yang masih gagal disambungkan dengan sistem grid air menyebabkan sistem kendiri Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) masih diteruskan buat sementara waktu.
“Kita berada di landasan betul, menuju ke arah tepat dan mempunyai satu hala tuju jelas. Kita sedang melaksanakan pelan tersebut secara agresif dan saya percaya dengan kerjasama dan sokongan daripada rakan-rakan (agensi di bawah MUT), insya-Allah kita akan dapat melaksanakan harapan dan agenda pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak di Kuching pada Rabu.
Pada masa sama, Julaihi turut merakamkan penghargaan kepada bekas timbalannya, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi atas sumbangan diberikan dalam agensi di bawah kementerian itu sejak sembilan tahun lalu.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan kepada Dr. Abdul Rahman yang kini memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) agar projek pembangunan bekalan air diserahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada agensi di bawah MUT.
“Saya dah bercakap dengan Datuk Dr Abdul Rahman agar dipertimbangkan untuk menyerahkan perlaksanaan kepada JBALB kerana apabila projek ini siap nanti akan diberikan kepada kami.
“Cuma saya minta, apabila diserahkan projek, serahkan sekali dengan peruntukkannya kerana jika tidak kita tidak mempunyai dana cukup untuk menyelesaikan projek tersebut,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki, Setiausaha Tetap MUT Datu Jafri Lias dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) Dato Sudarnoto Osman.-TVS