KUCHING, 29 Mei: Sarawak mencatat sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia melancarkan Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 iaitu sebuah dokumen strategik komprehensif yang menjadi asas kepada peralihan menyeluruh negeri itu ke arah ekonomi hijau.
Pelancaran rasmi pelan tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Karbon Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Disediakan oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, pelan ini merangkumi 10 teras strategik, 48 strategi terperinci, dan 111 pelan tindakan yang menyasarkan peralihan ke arah ekonomi hijau yang progresif dan inklusif.
“Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 merangkumi setiap aspek agenda kelestarian kita, yang direka bentuk untuk mengintegrasikan prinsip hijau ke dalam teras masyarakat dan ekonomi kita.
“Antara keutamaan pelan induk tersebut termasuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, melaksanakan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS), memperkukuh pemuliharaan hutan dan tanah, menggalakkan pelaburan hijau, serta membangunkan bandar pintar dan mampan melalui amalan ekonomi kitaran.
“Turut diberi penekanan ialah pembangunan modal insan masa depan melalui pendidikan, latihan kemahiran dan penyelidikan,” katanya.
Abang Johari menegaskan bahawa pendekatan holistik yang dibawa oleh pelan ini bertujuan mengintegrasikan prinsip kelestarian dalam struktur sosial dan ekonomi negeri, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam inisiatif hijau serantau.
Menjelang Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian”, beliau menyatakan kesediaan Sarawak untuk menyokong aspirasi negara dalam menerajui kepimpinan serantau dalam ekonomi hijau.
Tegasnya, dengan kapasiti tenaga boleh diperbaharui yang kukuh serta kerangka pengurusan karbon yang mantap, Sarawak bersedia menjadi contoh kepada negara ASEAN lain dalam mencapai pertumbuhan mampan dan menangani perubahan iklim secara bersama.
Dalam pada itu, ujar beliau Sarawak juga menyatakan keterbukaannya untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pelabur, inovator serta rakan strategik antarabangsa dalam usaha membangunkan projek hijau dan inisiatif kelestarian.
“Sarawak terbuka untuk perniagaan, dan lebih penting, terbuka untuk kerjasama,” tambah beliau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. – TVS