KUCHING, 29 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sarawak melaksanakan 67,612 pemeriksaan premis sehingga 26 Mei lepas bagi memastikan pematuhan undang-undang kawalan harga dan anti pencatutan sempena musim perayaan.
Hasil pemeriksaan intensif ini, sebanyak 744 kes pelanggaran direkodkan dengan rampasan bernilai RM5.5 juta dan kompaun terkumpul RM141,100 dikenakan ke atas pihak yang melanggar peraturan.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin, menegaskan pegawai akan terus melakukan pemeriksaan tanpa mengira aduan, termasuk di pasar awam dan premis runcit, bagi melindungi hak pengguna dan memastikan perniagaan adil.
âKami tidak menunggu aduan semata-mata. Pegawai penguat kuasa kami akan terus melakukan pemeriksaan tanpa henti, termasuk di pasar awam, pasar raya dan premis runcit lain,â katanya ketika ditemui selepas program walkabout bersama media sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Gawai Dayak 2025 di Farley Mall, Kuching, hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa semua peniaga diwajibkan mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan kawalan, sebagaimana yang dikehendaki di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723).
âSekiranya gagal mematuhi ketetapan ini, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Kompaun juga boleh dikenakan sehingga RM50,000.
âBagi syarikat pula, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, atau kompaun sehingga RM250,000,â tegasnya.
Tambahnya lagi, sekiranya peniaga gagal meletakkan tanda harga merah jambu pada barangan kawalan, mereka juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
âIndividu boleh didenda sehingga RM10,000, atau dikompaun RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000, atau dikompaun RM10,000,â jelas beliau.
Dalam masa yang sama, pengguna turut digalakkan agar bijak berbelanja dengan membuat semakan harga terlebih dahulu menerusi aplikasi MyPriceCatcher, selain membandingkan harga dan merancang pembelian mereka dengan lebih teliti.
Sebarang aduan boleh disalurkan kepada pihak KPDN melalui WhatsApp di 019-848 8000, talian hotline 1-800-886-800, atau melalui e-mel dan aplikasi mudah alih Adu KPDN.
Matthew turut menyeru agar semua peniaga menjalankan perniagaan secara beretika, bagi mewujudkan suasana perniagaan yang sihat serta memberi manfaat kepada kedua-dua pihak â peniaga dan pengguna. – TVS