KUCHING, 29 Mei: Koperasi kariah masjid memainkan peranan penting dalam memperkasa ekonomi umat Islam.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha berkata, ia dilihat sebagai instrumen yang bukan sahaja menjana pendapatan anggota tetapi membantu menaik taraf sosioekonomi usahawan, asnaf dan individu memerlukan.
Sehubungan itu, Misnu turut mencadangkan beberapa pendekatan holistik dalam memperkasa koperasi kariah masjid terutama di Sarawak.
“Saya cadangkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk menganjurkan Anugerah Koperasi Masjid bermula tahun depan kerana pendekatan ini dapat membantu anggota untuk lebih aktif dalam menjalankan pelbagai aktiviti untuk menjana pendapatan masjid dan surau.
“Keduanya, tingkatkan program latihan yang bukan hanya dalam pengurusan bahkan aspek teknikal dan ketiganya kita mahukan mereka ini menggunakan sumber modal yang ada untuk membangunkan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Bicara Ilmu ‘Memperkasakan Koperasi Kariah Masjid’ di Kuching pada Khamis.
Misnu menjelaskan, menerusi pelbagai koperasi termasuk koperasi kariah masjid berjumlah 1,213 di Sarawak, jumlah syer dicatatkan berjumlah RM231.04 juta dan perolehan RM411.48 juta pada 2024.
“Saya menggesa koperasi di Sarawak bersatu dan bekerjasama untuk meneroka peluang yang ada agar dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi utama di Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, seramai 170 peserta yang terdiri daripada ahli lembaga dan anggota koperasi kariah masjid dan ahli jawatankuasa masjid serta surau dari Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong menyertai program anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak itu.
Untuk rekod, pada tahun 2024, sebanyak 578 koperasi kariah masjid dan surau ditubuhkan di seluruh negara dan berjaya menjana perolehan sebanyak RM30.6 juta dan syer terkumpul berjumlah RM16.56 juta.-TVS