KUCHING, 29 Mei: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana khas untuk menghantar wartawan tempatan mengikuti latihan eksekutif di luar negara bagi memperkukuh profesionalisme dan kualiti kewartawanan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan inisiatif itu sebagai tanda penghargaan terhadap peranan penting wartawan dalam menyampaikan maklumat yang tepat, beretika dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
“Saya bersama rakan-rakan pimpinan mengucapkan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, dan saya telah pun mempunyai program untuk membantu para wartawan.
“Saya telah arahkan Datuk Abdullah Saidol untuk melaksanakannya kerana tahun lepas saya sudah nyatakan, kita akan hantar wartawan berkelayakan ke luar negara melalui satu program eksekutif,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Persidangan Karbon Asia (ACC) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Beliau menegaskan program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan antarabangsa kepada wartawan malah dijangka memperkenalkan idea serta pendekatan baharu dalam bidang kewartawanan di Sarawak.
Menurut Abang Johari, pelaksanaan program itu akan melibatkan kerjasama rapat dengan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) bagi menyelaras proses pemilihan peserta berdasarkan kelayakan yang ditetapkan.
“Kalau kita boleh beri pendidikan percuma kepada rakyat, saya juga sedia beri peruntukan untuk wartawan. Tapi mesti ada proses (siapa yang layak, apa kelulusan mereka), dan ini perlu diputuskan bersama KDJA,” ujar beliau lagi.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 akan diadakan pada 3 Jun depan, dengan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah. – TVS