MIRI, 29 Mei: Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) kekal menjadi platform utama dalam menyatupadukan pelbagai etnik Orang Ulu serta mengetengahkan budaya unik komuniti tersebut ke peringkat nasional.
Penolong Bendahari Agungnya, Daniel Jok Wan berkata, FORUM ditubuhkan kira-kira 14 tahun lalu atas keperluan untuk mewujudkan satu badan induk yang mewakili pelbagai persatuan etnik Orang Ulu.
“Sebelum ini, setiap etnik seperti Kayan, Kenyah, Kelabit dan lain-lain bergerak sendiri-sendiri. Maka kami bentuk FORUM sebagai satu persekutuan supaya lebih kuat menyuarakan keperluan, memelihara budaya dan tradisi kita secara kolektif,” katanya ketika ditemui TVS di Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) Miri, hari ini.
Setakat ini, sepuluh etnik telah berdaftar di bawah FORUM termasuk Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan, Bisaya, Lakiput, Barawan, Saban, Lun Bawang dan Kajang.
Bangunan FORUM yang terletak di Miri mula dibina pada 2018 hasil geran daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Walaupun projek pembinaan tertangguh akibat pandemik COVID-19, ia kini telah siap sepenuhnya dan bakal dimanfaatkan sebagai pusat pentadbiran dan kebudayaan Orang Ulu.
“Kita sedang rancang untuk jadikan salah satu blok sebagai galeri dan muzium FORUM dengan teknologi moden untuk memaparkan budaya, kraf tangan dan makanan tradisional Orang Ulu,” katanya lagi.
FORUM akan menganjurkan Karnival Gawai Peringkat Negeri di Miri pada 12 dan 13 Jun ini dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran makanan tradisional, persembahan muzik, permainan rakyat, serta Pertandingan Tarian Datun Julud dan Pertandingan Sape.
Karnival tersebut akan diteruskan pada malam kedua dengan Pertandingan Ratu Gawai yang menghimpunkan juara-juara dari setiap bahagian di Sarawak bagi merebut gelaran Miss Gawai Sarawak 2025. – TVS