KUCHING, 29 Mei: Bekas Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi menzahirkan penghargaan di atas pengalaman dan peluang diberikan selama sembilan tahun di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT).
Dr. Abdul Rahman yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) berkata, kariernya bermula di MUT pada tahun 2017 bersama Majlis Perancangan Utiliti (MPU).
Beliau turut berkongsi keterujaan memulakan tugas di kementerian pada ketika itu disebabnya dirinya seorang doktor perubatan yang dikelilingi arkitek, jurutera dan pakar dalam bidang teknikal bekalan air, elektrik, telekomunikasi serta bekalan gas.
“Banyak lagi maklumat tertentu yang saya belajar daripada jurutera, arkitek, QS dan juga dalam bidang lain. Dengan adanya pengalaman ini, saya pasti ia akan memberi maklumat tambahan yang akan digunakan dalam portfolio baharu saya yang melibatkan perbincangan bersama-sama jurutera, arkitek dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Kuching pada Rabu.
Menurutnya, antara arahan yang diterima semasa memulakan portfolio sebagai Menteri Muda di Kementerian Utiliti adalah untuk meningkatkan liputan bekalan air dan elektrik.
“Insya-Allah dengan usaha gigih menteri, timbalan menteri dan rakan-rakan di Kementerian Utiliti pada hari ini, saya pasti kita akan dapat memastikan 100 peratus Sarawak dapat liputan air berkualiti dan bekalan elektrik. Ini harapan kita dan harapan rakyat Sarawak,” ujarnya.-TVS