BA’KELALAN, 29 Mei: Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, Dato’ Seri Sahabudin Abd Manan, mengetuai lawatan kerja ke Pondok Polis Ba’kelalan, Lawas pada Rabu bagi meninjau keadaan logistik dan penugasan pasukan di lokasi tersebut.
Rombongan daripada Bukit Aman itu terdiri daripada pegawai-pegawai tinggi PDRM iaitu SAC Zulkifli Abu Bakar, ACP Alias Mohamad, Superitenden Shahrulnizam Ahmad dan pegawai kanan lain.
Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas dalam kenyataannya hari ini berkata terdahulu rombongan tiba dari Bario, Marudi pada jam 10 pagi di Lapangan Terbang Ba’kelalan yang disambut mesra oleh Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan dan warga kerja IPD Lawas serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Lawas sebelum menikmati jamuan pagi di Dewan Apple Lodge.
“Rombongan dibawa ke Pondok Polis Ba’kelalan yang berada di Pos Kawalan Imigresen Ba’kelalan untuk lawatan rasmi dan mengadakan tinjauan berkenaan keadaan Pondok Polis Ba’kelalan.
“Rombongan juga turut dibawa ke Perbatasan Malaysia/Indonesia iaitu di sempadan Ba’kelalan dan Long Bawan,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi Sahabudin beserta rombongan bergerak ke Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ba’kelalan dan disambut mesra oleh Komander Kompeni ‘C’ Batalion 12 PGA Limbang ASP Azhar bin Mohamad.
“Selesai lawatan di Pos Kawalan PGA Ba’kelalan, rombongan bergerak ke Lapangan terbang Ba’kelalan dan seterusnya berlepas ke Miri menggunakan pesawat udara PDRM,” katanya. -TVS