Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kejadian berebut bantuan di sebuah gudang milik Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Semenanjung Gaza telah mengakibatkan beberapa orang maut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Rabu. Foto AFP

Beberapa orang maut dalam insiden berebut bantuan di gudang PBB di Gaza

ByBernama

TEL AVIV, 29 Mei: Kejadian berebut bantuan di sebuah gudang milik Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Semenanjung Gaza telah mengakibatkan beberapa orang maut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Rabu.

Sumber perubatan di Hospital al-Aqsa di Deir al-Balah melaporkan dua individu maut akibat dihimpit dalam kesesakan orang ramai manakala dua lagi terbunuh akibat tembakan.

WFP mengesahkan insiden berebut bantuan di sebuah gudangnya yang terletak di tengah-tengah wilayah Gaza yang dilanda konflik.

Menurut kenyataan yang disiarkan di platform X, “gerombolan orang ramai yang kelaparan” dilaporkan menyerbu gudang itu untuk mendapatkan bekalan makanan yang telah disediakan lebih awal untuk diagihkan.

Pertubuhan itu pada awalnya melaporkan dua kematian dan ramai yang cedera dalam insiden berkenaan.

Saksi kejadian memaklumkan berlaku kesesakan teruk di pintu utama gudang itu.

Terdapat juga laporan bahawa beberapa individu telah merobohkan dinding logam gudang untuk masuk ke dalam premis. Video di media sosial menunjukkan ramai orang menyerbu dan menjarah gudang itu sambil menjerit.

Susulan sekatan bantuan selama beberapa bulan oleh Israel yang hanya dilonggarkan sedikit baru-baru ini, ramai penduduk di wilayah itu berada dalam keadaan terdesak.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, turut dilaporkan kejadian penjarahan dan serbuan di pusat agihan bantuan baharu di kawasan berkenaan.

Menurut WFP, pihaknya “secara konsisten memberi amaran mengenai keadaan di lapangan yang semakin meruncing serta risiko akibat sekatan bantuan kemanusiaan kepada golongan yang kelaparan dan amat memerlukan bantuan.”

“Gaza memerlukan peningkatan segera bantuan makanan. Ini satu-satunya cara untuk meyakinkan orang ramai bahawa mereka tidak akan kebuluran,” menurut kenyataan itu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan