KUALA LUMPUR, 29 Mei: ASEAN berpotensi menjana pendapatan tambahan US$300 bilion setahun menerusi aktiviti hijau serta memanfaatkan nilai baharu sehingga US$1.5 trilion menjelang 2030.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara itu dapat dicapai melalui pemerkasaan pelaburan hijau dan kerjasama rentas sempadan dalam grid tenaga serantau, pasaran karbon dan insentif tenaga bersih.
Kata beliau, di Malaysia strategi pelaburan hijau telah menjana hampir 1,000 projek yang diluluskan pada 2024.
“Ini membabitkan nilai RM20.8 bilion yang disalurkan dalam ekonomi dan mewujudkan ribuan pekerjaan yang relevan pada masa depan.
“Peluang yang terbentang di hadapan kita adalah jelas (dan) kami sedang menggerakkan rangka kerja utama dan peruntukan kawal selia untuk merealisasikan aspirasi hijau negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid pada Forum Perniagaan ASEAN 2025 di sini hari ini.
Sementara itu Tengku Zafrul turut mengingatkan bahawa risiko iklim boleh menjejaskan sehingga 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN menjelang 2050 sekiranya tindakan tidak diambil.
Pada masa sama beliau menjelaskan, pelbagai kerangka dasar dan peraturan sedang digerakkan bagi menyokong peralihan hijau yang ingin dicapai.
“Ini termasuk Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan, Garis Panduan Pelaburan Mampan dan Buku Panduan Penghijauan Rantaian Nilai.
“Selain itu, Strategi ASEAN untuk KeNeutralan Karbon juga sedang dilaksanakan, merangkumi pasaran karbon, pembangunan teknologi CCS/CCUS serta kerangka peralihan adil bagi pekerja dan komuniti yang terlibat dalam transformasi hijau,” jelasnya. -TVS.