KUCHING, 29 Mei: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak terus menggandakan usaha memerangi lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui pelaksanaan Operasi Bersasar yang dijalankan di kawasan perindustrian Pending dan Demak di sini, semalam.
Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata, operasi yang bermula jam 10.30 pagi itu menyasarkan lima kilang dengan kekuatan seramai 33 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Kuching.
“Dalam serbuan menyeluruh tersebut, kita memeriksa seramai 157 individu termasuk 13 warganegara Malaysia dan hasilnya 94 warga asing berjaya ditahan.
“Warganegara asing yang ditahan adalah terdiri dari 80 lelaki, 11 wanita warganegara Indonesia dan tiga lelaki warganegara Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.
“Sebanyak tujuh borang saman kepada saksi juga dikeluarkan kepada warganegara Malaysia untuk membantu siasatan.
“Kesemua mereka kini dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Semuja bagi tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan Undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk majikan yang mengambil jalan pintas menggaji pekerja tanpa kelulusan sah dan tindakan tegas akan dikenakan. – TVS