SANDAKAN, 29 Mei: Polis Sandakan giat menjalankan operasi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di pusat bandar dengan penahanan 16 individu dalam dua hari menerusi Ops Poket.
Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS)dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai usaha berterusan membanteras jenayah, mengekang aktiviti haram dan menguatkuasakan undang-undang dokumentasi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt Ramasamy Kuppan berkata, seramai 11 warga asing ditahan dalam operasi pertama yang dijalankan pada 27 Mei dari jam 7.30 pagi hingga 11 pagi di sekitar pusat bandar.
“Mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen sah, tinggal lebih masa dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pertubuhan 1966 kerana terlibat dengan pertubuhan tidak berdaftar,” katanya.
Lima lagi PATI ditahan dalam operasi kedua pada 28 Mei dari jam 4 petang hingga 6 petang di Pasar Umum Sandakan.
Kesemua yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Tambah Ramasamy, operasi bersepadu akan diteruskan secara berkala bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.-TVS